PILIHAN bijak! Di sini pilihan yang dimaksudkan adalah pilihan makanan untuk bersahur atau pun berbuka. Bukan hanya apa yang dipilih untuk dimakan, malahan jumlah dan harga yang dibayar biarlah bersesuaian.
Allah memberi peringatan dalam firman-
Nya yang bermaksud: Dan makanlah dan minumlah, dan jangan kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas. (Al-A’raf: 31).
Sebagai umat Islam, kita bukan sahaja wajib memilih makanan yang halal malahan perlu memilih makanan yang bersih dan dijual di kawasan yang bersih. Walaupun logo halal jelas terpampang di kedai atau gerai makanan, kebersihan tetap menjadi keutamaan, dari penggunaan bahan masakan yang bersih, penyediaan sehinggalah penjualan.
Sebagai pembeli, anda bukan sahaja berhak mendapatkan nilai wang yang dibelanjakan tetapi turut berhak dilindungi dari kemungkinan keracunan makanan. Bayangkan jika bahan yang digunakan tidak dibasuh, tangan tidak dibasuh ketika menyediakan makanan dan juga wang berpindah tangan antara pelanggan dan tukang masak yang menguruskan makanan.
Bahan tidak bersih dan tangan tukang masak yang kotor sudah pasti membawa pencemaran kuman ke dalam makanan, apatah lagi jika tangan yang memasak juga menjadi tangan yang mengambil wang dari pelanggan. Wang (kertas atau syiling) yang telah banyak bertukar tangan pasti dipenuhi pelbagai kuman dan bahan cemar.
Oleh itu, sebelum membeli, amalkan memerhati amalan perniagaan dan cara penyediaan makanan peniaga. Ambil masa melihat persekitaran tempat niaga bagi memastikan ia tidak dikerumuni lalat atau tikus, dan jika boleh jauh dari longkang yang bertakung.
Dari sudut kesihatan pula, pilihlah makanan dalam kesederhanaan. Tidak dapat dinafikan pelbagai hidangan istimewa pasti menarik diri untuk membeli. Namun, seringkali makanan yang tinggi dengan gula, garam dan minyak (lemak) menjadi pilihan utama, malahan jumlah yang dibeli (dan dimakan) juga menjadi ‘melampau’.
Tidak salah untuk membeli juadah lazat untuk berbuka tetapi biarlah dalam jumlah bersesuaian. Kurangkan pengambilan makanan berminyak (goreng), terlalu manis (terutamanya air) atau berlemak (lauk kuah bersantan). Jika boleh, amalkan pengambilan serat sayur dan buah-buahan yang lebih, pilihan lauk berempah (kurang gula dan garam) serta amalkan pembelian lauk dalam jumlah kecil supaya boleh menikmati semua yang diingini, tetapi dalam jumlah yang bersesuaian.
Harga pilihan
Allah berfirman: Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. (Al-Furqan: 67) Sesungguhnya orang yang boros (suka membazir) itu adalah saudara syaitan...(al- Israk: 27)
Sudah pasti khalayak ramai mengetahui harga makanan sudah dan masih naik. Namun ‘pesta membeli’ tetap berterusan, terutamanya bagi yang berkemampuan. Harga barangan mungkin tidak sama penting dengan halal, bersih dan menyihatkan, tetapi ia tetap menjadi faktor menentukan pilihan pembelian yang bijak. Di sini, ramai yang kurang faham bahawa penentu harga makanan bukan sahaja pada bekalan tetapi lebih utama adalah permintaan.
Harga makanan hampir semuanya sudah naik dengan alasan kenaikan minyak tetapi hampir pasti tidak akan turun walaupun harga minyak turun ke paras asal (RM1.92 seliter). Pengumuman bonus sektor awam dijangka membawa bersamanya ‘pesta naik harga’ dan jangan terkejut jika makanan ringkas seperti kuih-muih turut naik melangkaui harga 50 sen.
Di sini, pembeli seharusnya faham kuasa di tangan mereka dan perlu mengelak membeli dari penjual yang ingin mengaut keuntungan mudah atau menjadi ‘cepat kaya’. Tidak perlu mengorbankan isi poket semata- mata untuk makanan ‘istimewa’, terutamanya pada bulan yang menekankan kesederhanaan ini.
Masih banyak pilihan dari peniaga lain yang tidak ingin mengambil kesempatan. Bukan untuk menggalakkan boikot peniaga, tetapi lebih kepada bijak memilih, biarlah berpada bayaran yang dikenakan untuk membeli juadah berbuka.
Ketika waktu untuk berjimat ini, cara terbaik bagi memenuhi keperluan halal, bersih, sihat dan murah adalah dengan memasak sendiri makanan untuk keluarga. Dengan cara ini, bahan mentah dapat dipastikan bersih, bahan masakan (gula, garam, minyak) dapat dikawal dan kos bahan mentah yang lebih murah. Bukan setakat menjimatkan kos bulanan, lebih utama lagi kesihatan ahli keluarga dapat dijaga dengan baik.
Biasanya cadangan masak sendiri ini akan ditolak atas dasar sibuk atau tidak sempat. Namun, pastikan yang anda betul-betul tidak sempat memasak kerana kesihatan jangka panjang keluarga, terutama anak-anak menjadi taruhan.
Jangan kerana keengganan atau lebih tepat, kemalasan diri, akhirnya keluarga menghadapi masalah obes, keracunan makanan dan pelbagai jenis penyakit akibat pemakanan. Sudah tentu di sini bukan wanita (isteri) sahaja disarankan memasak, apa salahnya jika suami dapat bergilir memasak untuk keluarga. Ajak anak-anak bersama menolong, sekurang-kurangnya mereka tahu memasak hidangan lain selain mi segera kelak.
Semua ini sebenarnya bukan hanya perlu atau boleh dilakukan pada bulan Ramadan. Jika dapat diamalkan sepanjang masa, atau sekurang-kurangnya sekerap mungkin, dapat mengurangkan masalah kesihatan akibat pemakanan, mengurangkan kos perbelanjaan bulanan dan dapat meningkatkan tahap kesihatan serta kualiti hidup rakyat Malaysia. Pilihan bijak, pilih dengan bijak!
(¯`v´¯)
`*.¸.*´ *hUgGiEsS*
¸ .•´¸.•*¨) ¸.•*¨)
(¸.•´ (¸.•´ .•´ ¸¸.•¨;.* muahh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan